Rumah terbengkalai, klinik tertangguh tuntutan utama penduduk Felda Palong
Tinjauan FMT mendapati, isu perumahan menjadi kebimbangan utama penduduk, diikuti peluang pekerjaan, kemudahan kesihatan, infrastruktur dan bantuan kepada usahawan.
Mohd Zaini Sadikon, 68, berkata projek perumahan generasi kedua yang terbengkalai lebih sedekad perlu disiapkan segera selepas beberapa kali tertangguh akibat pertukaran kontraktor dan kekangan peruntukan.
Katanya, kelewatan itu menyebabkan rumah yang hampir siap rosak serta kehilangan peralatan akibat kecurian.
“Alasan diberikan ialah tiada bajet, kontraktor lari dan kerap bertukar kontraktor. Projek perumahan generasi kedua ini telah terbengkalai lebih 10 tahun.
“Sebagai orang tua, sebelum saya pejam mata, saya berharap anak-anak mempunyai rumah sendiri melalui projek perumahan generasi kedua. Rumah itu bukan untuk kami, tetapi untuk generasi pelapis,” katanya.
Beliau turut berharap jalan raya diperbesarkan, selain bekalan elektrik dan air disediakan kepada penduduk yang membina rumah sendiri.
Paidi Miskun, 64, berharap projek Klinik Kesihatan Felda Palong 7 yang tergendala sejak sebelum pandemik Covid-19 dapat disiapkan segera kerana penduduk kini terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Jempol yang terletak lebih 30km dari kawasan itu.
“Harapan penduduk supaya projek ini dapat disiapkan secepat mungkin,” katanya sambil berharap projek itu tidak lagi tergendala selepas kontraktor baharu dilantik.
Suriani Suhaimi, 30, berkata lebih 60% anak muda meninggalkan kampung halaman kerana kekurangan peluang pekerjaan, justeru lebih banyak pekerjaan perlu diwujudkan di kawasan Felda.
“Kalau peluang pekerjaan ada di kampung, mereka tidak akan keluar kerana tiada siapa yang mahu berjauhan dengan ibu bapa dan keluarga.”
Suriani turut berharap lebih banyak bantuan dan pinjaman disediakan kepada usahawan Felda, selain skim perumahan mampu milik untuk generasi akan datang.
Fared Suhaimi, 39, berkata peluang pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan perlu diwujudkan di Felda kerana ramai terpaksa bekerja di luar dan tinggal bersama keluarga akibat tidak mampu memiliki rumah sendiri.
Peniaga Haliza Abu Bakar, 49, pula berharap jalan berlubang diberi perhatian segera, selain bantuan dan latihan keusahawanan dipertingkatkan.
Sementara itu, Ronaliza Roslan, 34, berharap wakil rakyat yang dipilih pada PRN 1 Ogos ini membawa lebih banyak pembangunan terutama membabitkan perumahan generasi kedua, jalan raya dan lampu jalan.
“Apabila jalan gelap dan sempit serta tiada lampu, kemalangan sering berlaku,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.