Wawasan sasar undi penting polis melalui pegawai kanan bersara
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dan Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, Presiden Wawasan, Hamzah Zainudin menggunakan hubungannya dengan pegawai terbabit untuk menarik mereka menyertai partinya.
Ini kerana, kata mereka, Hamzah merupakan menteri dalam negeri dari Mac 2020 hingga November 2022.
Mazlan berkata, terdapat lebih 130,000 anggota polis di seluruh negara, dengan ramai daripadanya mempunyai isteri dan anak berumur 18 tahun ke atas yang layak mengundi.
Walaupun tersebar di pelbagai kawasan Parlimen dan DUN, mereka masih mewakili sebahagian besar undi, khasnya di kerusi marginal di mana hanya 100 undi mampu mengubah keputusan pilihan raya.
“Hanya anggota polis dan isteri mereka saja sudah melebihi 200,000 undi. Jangan lupa pesara polis. Jadi, apabila bekas pegawai kanan polis menyertai parti politik, mereka dapat menarik segmen pengundi ini.
“Anggota polis lazimnya mempunyai sifat setia dan konsistensi, walaupun ketika mengundi. Mereka lebih mudah ‘diurus’ berbanding pengundi biasa,” katanya kepada FMT.
Bekas pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Hazani Ghazali, kini ahli Jawatankuasa Pusat Wawasan, manakala bekas timbalan ketua polis Melaka, Razali Abu Samah antara calon mewakili parti itu dalam PRN Negeri Sembilan.
Hazani merupakan ketua pengarah pertama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan dari Oktober 2024 hingga Februari 2025, selain mengetuai kontinjen polis Sabah dari 2020 hingga 2022 serta Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dari 2017.
Azmi dan Mazlan berkata, tiada salahnya pesara polis menceburi bidang politik dan menyertai parti politik kerana sudah meninggalkan pasukan keselamatan negara, bahkan ada bekas panglima angkatan tentera turut melakukan perkara sama.
Ini termasuk bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia, Raja Affandi Raja Noor, yang bertanding sebagai calon Barisan Nasional dalam PRK Parlimen Kemaman pada 2023.
Mereka berkata, mana-mana penjawat awam boleh menyertai politik selepas meninggalkan perkhidmatan awam. Hakikatnya, pegawai polis dan panglima tentera juga mempunyai kecenderungan politik seperti rakyat Malaysia lain.
Menurut mereka, lebih penting ialah memastikan kecenderungan politik tidak mengganggu pelaksanaan tugas rasmi.
“Walaupun sebagai ahli akademik, saya pasti mempunyai kecenderungan politik. Kita semua perlu mengundi satu parti dalam pilihan raya. Tetapi, selagi saya tidak membiarkan ia mempengaruhi pelaksanaan tanggungjawab profesional saya, ia tidak patut menjadi isu,” kata Mazlan.
Azmi bagaimanapun mengakui orang ramai mungkin memberi perhatian khusus kepada bekas pegawai kanan polis yang menyertai politik kerana sebahagian daripada mereka mungkin terbabit perkara “sensitif’ ketika berkhidmat, khasnya jika mereka berada dalam Cawangan Khas.
Bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar, berkata tiada isu dari segi undang-undang atau moral apabila pesara polis menceburi bidang politik, sambil menambah ia “terpulang kepada mereka”.
Tetapi, katanya, beliau secara peribadi akan menjauhi diri daripada politik kerana “saya memang tidak suka politik”.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
Why you’re seeing this: Mentions IDHAM AFFANDI BIN AHMAD
Free Malaysia Today·15d agoEN75%Neutral
Read more