Manifesto PH berdasarkan 8 tahun tadbir Negeri Sembilan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, berkata manifesto ini menekankan perkara yang mampu dilaksanakan.
“Kalau sebelum ini kita banyak meletakkan apa yang ingin kita laksanakan, tetapi kali ini kita tambah baik dan kita perkasakan dalam lima tahun akan datang,” katanya, lapor Bernama, pada sidang media sempena pelancaran manifesto.
“Lima tahun ini adalah untuk kita memastikan bahawa ia benar-benar menjadi kenyataan, dan yang utama adalah menjadikan Negeri Sembilan mempunyai asas yang boleh kita letakkan kepada anak cucu kita pada masa hadapan.”
Aminuddin berkata hampir semua manifesto terdahulu berjaya direalisasikan, kecuali berkaitan pindaan undang-undang yang tidak diluluskan dalam sidang DUN, sebelum pembubaran pada 5 Jun.
Manifesto bertemakan ‘Negeri Sembilan Kekal Harapan’ menggariskan 10 komitmen utama.
Ia menawarkan kerajaan yang stabil, bersih dan mesra rakyat; memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR); membina ekonomi yang berdaya saing, dan mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, serta memastikan pendidikan berkualiti untuk semua.
Turut terkandung penyediaan 20,000 rumah mampu milik dan penyelesaian isu tanah; memperkasakan belia, wanita dan keluarga serta membangunkan sektor pelancongan dan warisan adat, selain menjayakan Pelan Pembangunan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Ia turut menumpukan soal pertanian moden dan keterjaminan makanan; merealisasikan infrastruktur strategik dan perkhidmatan kesihatan berkualiti, serta memperkasakan perpaduan antara agama.
Aminuddin, dalam ucapan sempena pelancaran, berkata beliau mahu Negeri Sembilan muncul sebagai koridor pertumbuhan baharu negara yang menghubungkan Lembah Klang dan selatan tanah air.
Kedudukan Negeri Sembilan berhampiran ibu negara dan lengkap dengan rangkaian logistik, lebuh raya, pelabuhan, dan lapangan terbang meletakkan ia sebagai nadi pertumbuhan baharu.
Katanya, jajaran pembangunan dari Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan, Selangor sebagai enjin perindustrian, dan Melaka sebagai hub pelancongan serta maritim perlu disatukan bersama Negeri Sembilan dalam ekosistem yang saling melengkapi.
“Di tengah-tengah koridor inilah berdirinya Negeri Sembilan. Negeri Sembilan bukan lagi negeri di tengah perjalanan, tetapi bakal menjadi pusat kepada perjalanan itu, daripada sebuah negeri laluan kepada negeri destinasi utama pelaburan dan inovasi,” katanya.
Aminuddin berkata projek pemacu ekonomi seperti penjenamaan semula Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), pembangunan NS Semiconductor Valley, dan Nilai Advanced Photonic AI Manufacturing City dirancang khusus bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk anak tempatan.
“Kemajuan sebenar bukan sekadar diukur melalui angka statistik atau megahnya bangunan, sebaliknya diukur daripada kualiti hidup rakyat. Adakah anak muda mendapat pekerjaan yang baik, keluarga memiliki kediaman sendiri, dan usahawan tempatan terus berkembang,” katanya.
Aminuddin menyeru rakyat Negeri Sembilan untuk terus memberikan mandat bagi membolehkan Visi Negeri Sembilan Maju 2045 direalisasikan.
Aminuddin berkhidmat sebagai menteri besar sejak 2018.
Negeri Sembilan akan ke peti undi pada 1 Ogos.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
Why you’re seeing this: Mentions Aminuddin Harun
Free Malaysia Today · 4h ago EN 95% Neutral
Read more